Official Portal for KLIA Training

Teknologi BIM tangani kenaikan harga hartanah

PENETAPAN nilai atau harga hartanah antara lain sering dikaitkan dengan kos pembinaan yang mana ia menjadi salah satu indikator utama bagi menentukan murah atau mahalnya sesebuah hartanah itu.

Kerap kali diperkatakan, harga hartanah meningkat disebabkan pemaju terpaksa menanggung kos pembinaan yang tinggi, selain berhadapan kekangan pelbagai cukai dan pemilihan lokasi.

Turut dikaitkan adalah kemudahan ditawarkan yang dikatakan memberi nilai tambah kepada hartanah sama ada dikategorikan sebagai ‘premium’, eksklusif dan mewah. Namun, dalam menangani situasi ini, pelbagai kaedah atau penyelesaian lain boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan kos pembinaan, sekali gus mengelak nilai hartanah menjadi terlalu tinggi.

Antara lain, pemaju boleh meninjau kemungkinan mengaplikasi pelaksanakan Model Bangunan Bermaklumat (BIM). Malah, bakal pembeli hartanah sendiri juga boleh menyumbang ke arah meningkatkan keberkesanan sesuatu pembinaan serta mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung mereka.

BIM adalah satu pendekatan yang menggunakan model parametrik tiga dimensi (3D) sebagai teknologi utama yang mana ia mampu menyediakan banyak manfaat kepada industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid, berkata BIM adalah satu kaedah yang sudah diguna pakai di kebanyakan negara maju dan ia mengaplikasikan teknologi maklumat (IT) bagi sesuatu binaan yang akan dilaksanakan.

Katanya, teknologi BIM sudah banyak digunakan pemain industri besar dan ia memberi banyak manfaat, termasuk menyelesaikan masalah dalam industri.

“Perisian digunakan dalam BIM dapat membantu mengurangkan kos operasi pembinaan serta memendekkan tempoh masa yang sesuatu projek,” katanya pada taklimat mengenai BIM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, rekaan dalam bentuk 3D akan memudahkan jurutera dan pereka dalaman merancang sesuatu rekaan, selain memeriksa sebarang kelemahan serta kecacatan setiap binaan.

“Proses pemeriksaan itu dibuat pada peringkat awal menerusi papan lakaran digital yang mana ia boleh mengelak sebarang pembaziran kos, masa dan tenaga yang mungkin terjadi selepas sesebuah pembinaan selesai.

“Pada masa sama, pemaju juga boleh menggunakan pakai teknologi berkenaan untuk menunjukkan lakaran, struktur binaan, malah susun atur peralatan serta perabot kediaman kepada bakal pembeli berdasarkan permintaan serta kesesuaian pembeli,” katanya.

Kajian secara umum mendapati rangka semakan boleh menyumbang kepada kerugian antara 10 hingga 30 peratus daripada kos bangunan.

Justeru, menerusi penggunaan BIM, ia akan membantu dalam pembinaan bangunan lebih efisien dari segi kos, masa dan tenaga buruh.

Bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai BIM, CIDB mengambil inisiatif mewujudkan Pusat MyBIM yang dijadikan sebagai tempat rujukan dan latihan teknologi BIM bagi meneruskan kemapanan industri pembinaan negara.

Pusat berkenaan yang membabitkan pelaburan RM2.5 juta, bakal beroperasi bulan depan dan memberi peluang kepada penggiat industri menggunakan perkhidmatan BIM dengan bayaran berpatutan berbanding pembelian perisian BIM yang mahal. Info: BIM adalah sistem simulasi permodelan bangunan atau sebarang struktur yang hendak dibina. Paparan lakaran 3D mengandungi maklumat lengkap mengenai rekaan sesebuah binaan.

Sumber: http://www.bharian.com.my/node/279507
Oleh Nurhayati Abllah nurhayatiabllah@bh.com.my
Berita Harian : 10 Julai 2017